Al Fatihin, Tragedi Nice: Kes Bom Puchong Ada Lanjutan!

PENYEBARAN Makalah Al Fatihin berbahasa Melayu secara online mencetuskan satu kejutan besar.

Buletin ini menyeru keganasan dengan maksud Si Penakluk, disebarkan sebagai satu langkah agresif berfokus. Pengganas IS tidak melancarkan majalah ini tanpa matlamat. Malah, matlamat IS melalui Al Fatihin jelas: mahukan siri keganasan serangan awam berlaku secara meluas di Asia Tenggara.

Al Fatihin, Tragedi Nice: Kes Bom Puchong Ada Lanjutan!

Al Fatihin berkait rapat dengan penubuhan Kathibah Nusantara – yakni, wilayah IS merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Borneo, Selatan Filipina dan Selatan Thailand.

Ini hasil baiah (sumpah bersaudara) antara IS Syria/Iraq dengan pengganas Abu Sayyaf di Mindanao dan Jemaah Islamiah (JI) yang berpusat di Indonesia serta mempunyai rangkaian di Malaysia, dan Singapura.

Serangan bom di Puchong 28 Jun lalu, ada kaitan dengan siri serangan IS di Kelab Gay, Orlando AS pada 12 Jun, Lapangan Terbang Ataturk di Ankara, Turki pada 28 Jun, serangan kafe ekspatriat di Dhaka, Bangladesh pada 1 Julai serta trilogi pengeboman di Qatif, Jeddah dan Madinah Arab Saudi pada 4 Julai.

Selepas 22 hari mengganas di empat negara, IS berhenti sebentar. Serangan bom di IOI Puchong, kurang diberikan perhatian media antarabangsa. Namun, jangan sesekali diperkecilkan. Secara domestik, pengeboman Puchong satu amaran keganasan IS domestik kini tahap tiga.

Belum pun reda serangan di empat negara yang membunuh 200 nyawa (pada tempoh sama, IS melancarkan beberapa siri serangan domestik di Iraq yang mengorbankan 600 nyawa) dunia dikejutkan dengan Tragedi Nice pada 15 Julai yang membunuh 84 nyawa.

Al Fatihin, Tragedi Nice: Kes Bom Puchong Ada Lanjutan!
Tragedi Nice pada 15 Julai yang meragut 84 nyawa.

Sekali pun IS menafikan pembabitannya – namun, terdapat faktor yang serangan itu didorong pengaruh ideologi IS yang bersikap anti pada sekutu Eropah yang pro Amerika Syarikat.

Apa logiknya?

IS menyerang semua sekutu strategik AS sebagai tindak balas terhadap pakatan ketenteraan antara AS dan Iraq yang berjaya merampas kota kedua IS – Fallujah, dalam siri serangan udara dan darat pada awal Jun lalu.

Fallujah yang lebih dua tahun ditakluk IS, kini jatuh ke tangan tentera Iraq. Lebih 6 ribu pengganas IS lari meninggalkan bandar tersebut menuju Mosul.

Secara geografi, Mosul kini ibu kota utama wilayah IS. Khalifah IS, Abu Bakar Al Baghdadi dan sekutu kepimpinan utama dipercayai berada di Mosul yang memiliki kekuatan lebih 16 ribu pengganas IS.

Al Fatihin, Tragedi Nice: Kes Bom Puchong Ada Lanjutan!
GAMBAR HIASAN

Siri serangan besar-besaran IS, satu amaran tindak balas keganasan. Motif IS pastinya mahu menghentikan langkah Tenteta AS dan Iraq supaya tidak melancarkan serangan ke kubu terakhir IS di Mosul.

Tragedi Nice di Perancis, bukti siri serangan berterusan IS. Sekali pun IS secara taktikal menafikan pembabitannya, namun serangan Nice satu bukti: *Kaedah pengrekrutan penyerang/pengebom bunuh diri di seluruh dunia mula menampakkan kesan.*

Justeru, kemunculan makalah Al Fatihin Online satu isyarat jelas: IS menyasarkan Asia Tenggara/Kathibah Nusantara sebagai sasaran semasa.

Perhatian dunia semalam mungkin beralih sebentar ke Ankara, Turki. Namun, selepas 5 jam kekacauan rampasan kuasa – Turki sudah kembali aman.

Kesinambungan Tragedi Nice kini kembali jadi fokus. IS tidak mungkin diam.

Dalam keadaan tertekan menantikan serangan udara dan darat Tentera AS dan Iraq terhadap Mosul, yang dijangka bermula pada bila-bila masa – IS akan terus melancarkan serangan balas di mana sahaja lokasi strategik sekiranya berpeluang.

Jangan bersikap denial! Terimalah kenyataan bahawa Kuala Lumpur berada dalam senarai sasaran.

Tangkapan membabitkan 208 saspek pengganas IS di seluruh negara sejak dua tahun lalu, serta kejayaan Bahagian Counter Terorism Bukit Aman (E8) menggagalkan sembilan cubaan serangan dengan merampas 50 kilogram bahan letupan – jelas satu bukti: Kuala Lumpur tersenarai sebagai lokasi serangan sejak lama dahulu.

Awas! Tanggungjawab menentang IS bukan tugas E8 bersendirian. Malah, 30 juta rakyat Malaysia memainkan peranan patriotik untuk menghapuskan IS. Setiap tindak-tanduk IS menjadikan tiap individu warga negara ini, terdedah sebagai mangsa dan sasaran.

Sekiranya IS mengimpikan jihad Kathibah Nusantara – maka kita mengimpikan jihad Maqasid Syariah.

Menentang IS satu jihad kerana kejahatan pengganasnya mengancam 5 asas utama Islam: Agama, Nyawa, Akal, Keturunan & Harta. – MYNEWSHUB.CC

Loading...