‘Akuilah Pemimpin Akar Umbi PPBM Tiada Duit’

DEDAH… Pemimpin atasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diminta buka mata berpijak di bumi nyata terima hakikat parti itu tiada dana cukup untuk bergerak beri khidmat kepada rakyat.

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, selama ini, ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara sering mengadu kepada beliau bahawa ‘kantung’ mereka kosong sehingga sukar buat program di kawasan masing-masing.

Sehubungan itu tegas Naib Presiden PPBM tersebut, tindakannya cadang kontrak kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan pada Perhimpunan Agung Tahunan parti adalah berasas.

Selain itu, Abdul Rashid menyifatkan cadangan tersebut dibuat di tempat yang betul dan pada masa tepat dengan berkata: “Apa saya sebut itu tiada skrip, tetapi spontan. Saya terfikirkan perkara itu kerana ada datang kepada saya.

“Ramai ketua bahagian dan cawangan berkongsi masalah mereka, bukan Kelantan sahaja tetapi seluruh negara. Sebagai Naib Presiden, saya rasa perlu suarakan perkara ini. Bagi saya, kita kena berpijaklah di bumi yang nyata.

“Kalau tiada duit, tidak adalah. Dalam beri khidmat kepada masyarakat, kita tidak boleh jimat. Takkan kita hendak ulangi kepincangan kerajaan dulu? Kita mahu rakyat sokong secara berterusan, bukan sepenggal sahaja,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid yang baru tiba dari Kuala Lumpur disambut hangat dengan laungan kata-kata semangat kira-kira 100 ahli PPBM Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di Kota Bharu hari ini.

Dalam Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Putrajaya pada Ahad minggu lalu, beliau kemuka cadangan supaya kontrak kerajaan diberi kepada ketua bahagian dan cawangan bagi boleh mereka tambah dana untuk gerak parti.

Cadangan itu namun ditolak Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala beberapa pemimpin sayap termasuk Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecam Abdul Rashid.

Mengulas lebih lanjut, beliau kesal kerana teruk dikecam secara terbuka oleh pelbagai pihak waima kalangan PH sendiri dan dilabel pelbagai gelaran termasuk amal kronisme tanpa sempat jelaskan secara terperinci cadangan itu.

Kata Abdul Rashid, beliau hormati pandangan Syed Saddiq sebagai golongan muda yang ada idealisme sendiri namun enggan layan kerana khuatir boleh undang perbalahan yang akhirnya hanya merugikan masa depan PPBM.

Mengenai desakan supaya beliau letak jawatan sebagai Naib Presiden kerana jejaskan reputasi parti, Abdul Rashid berkata, tidak ada sebab beliau mahu berbuat demikian kerana desakan tersebut bukan datang dari dalam parti itu.

Sebaliknya pihak luar tiada kena mengena dengan PPBM. Sementara itu, Pengerusi PPBM Kelantan, Kamaruddin berkata, mereka berdiri di belakang Abdul Rashid dan terus menyokong Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu itu.

Ini termasuk usaha beliau dalam menyampaikan suara hati pemimpin akar umbi PPBM supaya dapat didengari pucuk pimpinan parti serpihan UMNO tersebut yang terpalit dengan pelbagai kontroversi. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...