Aktiviti Berbasikal Di Lebuh Raya Adalah Dilarang – PDRM

KUALA LUMPUR – Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang, dan individu yang ingkar boleh dikenakan denda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu status dimuat naik ke laman Facebook (FB) rasmi pasukan itu, semalam, memaklumkan mereka yang mengingkari larangan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Aktiviti sukan berbasikal kini menjadi hobi yang semakin diminati ramai di Malaysia, namun anda dinasihatkan supaya mematuhi larangan berbasikal di lebuh raya.

“Sekiranya anda ingkar, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan tertentu,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya memuat naik status dalam FB yang mendakwa tindakan sekumpulan individu menunggang basikal di jejambat Rasah Kemayan di Seremban, Negeri Sembilan, boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Beberapa gambar menunjukkan kumpulan penunggang basikal terbabit menggunakan laluan di tengah jalan raya yang sibuk di lokasi berkenaan, turut tular melalui media sosial. – BH Online

Loading...