Aktivis PPIM Terima Ugutan

AMPANG – “Jangan menghalang dan masuk campur urusan S*******jika tak nak hidup susah”. Itu ugutan yang diterima seorang Aktivis Persatuan…

AMPANG – “Jangan menghalang dan masuk campur urusan S*******jika tak nak hidup susah”. Itu ugutan yang diterima seorang Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar.

Amaran itu ditulis di atas sehelai kertas dan dilekatkan bersama sebilah pisau selain tulisan berwarna merah yang bertulis “Warning” ditemui di pintu rumah wanita berkenaan di Bukit Antarabangsa, dekat sini, malam Ahad lalu.

Dr Mazlina berkata, amaran berkenaan mempunyai kaitan dengan kes yang cuba diselesaikan PPIM di bawah kendaliannya yang mana ramai mangsa yang muflis akibat terpedaya dengan sebuah syarikat.

“Kes ini dipercayai membabitkan satu isu perumahan di Selangor. Selepas PRU saya berhenti sekejap mengendali kes ini, sebelum kembali agresif sejak beberapa minggu lalu.

“Saya memang terkejut apabila melihat kertas amaran itu di pintu rumah sebaik pulang dari rumah ibu. Laporan polis dibuat pada malam itu juga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Mazlina berkata, dia akan terus mengendalikan kes berkenaan walaupun sudah menerima ugutan dan mengakui itu baru kali pertama menerima amaran sedemikian.

“Bukan nak kata serik, tapi saya cuma bimbangkan keselamatan anak saya selain memikirkan situasi suami sebagai seorang penjawat awam,” katanya.

Menurutnya, satu sidang media akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, esok, untuk menceritakan lebih lanjut berhubung kejadian itu, selepas mendapat nasihat dari Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan. – BH ONLINE

Loading...