Aktivis Persoal Selangor Henti Program Khairat Kematian

SEORANG dermawan, Kuan Chee Heng menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan Selangor menggantikan skim khairat kematian dengan program baru kepada warga emas, mengatakan RM2,500 yang diberikan sebelum ini adalah bantuan besar kepada keluarga dari golongan B40.

Kuan, yang kerap memberi bantuan kepada mereka yang tidak dapat menyelesaikan bayaran bagi pengurusan jenazah dan pengkebumian, berkata skim tersebut adalah “bijak” kerana ia menjimatkan banyak wang kerajaan negeri.

“(Tetapi) Saya sudah lama berurusan dengan golongan miskin, dan RM2,500 sangat bermakna kepada mereka. Bagi yang memerlukan, ini penting dan ia perlu diteruskan oleh Selangor.”

Skim tersebut diperkenalkan pada 2008, di bawah Khalid Ibrahim yang merupakan menteri besar ketika itu. Pembayaran diberikan apabila berlaku kematian kepada sesiapa dari negeri itu yang berumur 60 tahun ke atas.

Menteri Besar sekarang, Amirudin Shari, yang membuat pengumuman itu bulan lalu, berkata skim baru itu membolehkan 200,000 warga emas yang berdaftar menikmati “baucar beli-belah” istimewa bernilai RM100 setahun.

Beliau berkata kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM20 juta setahun untuk program itu.

Kuan, yang lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” kerana memberikan kentang percuma kepada golongan miskin tegar, mempersoalkan baucar tersebut, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

“Apa yang mereka boleh beli dengan RM100 setahun?”

Jika kerajaan negeri benar-benar berminat membantu warga emas, katanya, lebih baik untuk memberi RM500 atau RM1,000 berbanding hanya RM100, dan untuk mengetatkan kriteria pendaftaran supaya wang itu tidak disalahgunakan oleh mereka yang tidak memerlukannya.

“Kerajaan berkata ia menjana wang yang banyak kerana ‘tadbir urus yang baik’. Jadi mengapa tidak menaikkannya untuk golongan miskin?”

Bagi kebanyakan keluarga berpendapatan rendah dari kumpulan B40, katanya, RM2,500 boleh membiayai perbelanjaan pengebumian atau sekurang-kurangnya digunakan untuk pembelian keranda.

Beliau berkata banyak jenazah tidak dituntut dari rumah mayat atau dikebumikan dengan betul kerana keluarga individu tersebut tidak dapat menguruskannya.

Kuan, yang bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Semenyih, mencadangkan kerajaan melaksanakan skim baru di mana sebuah konsortium mengatur perkhidmatan pengebumian secara percuma dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau berkata ini juga akan menangani kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan bantuan.

“Kita bukan hanya menyerahkan wang kepada keluarga si mati; kita hanya akan menyediakan perkhidmatan pengebumian. Itulah yang harus dilakukan.

“Semua orang akan gembira, dan sekurang-kurangnya si mati akan dapat dikebumikan yang betul.” – FMT

Loading...