Akta MKN Tidak Beri Lebih Kuasa Kepada PM

KUALA LUMPUR – Dakwaan pembangkang kononnya Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 memberi lebih kuasa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak benar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pembangkang sengaja menyebarkan dakwaan itu bagi memperlihatkan kononnya kuasa Yang Di-Pertuan Agong telah diambil.

Beliau sebaliknya menjelaskan, undang-undang itu diperlukan bagi memastikan MKN dapat beroperasi secara lebih telus dan mudah dipantau agar tidak disalah guna oleh kuasa eksekutif.

“Melalui Akta MKN 2016, Perdana Menteri tidak sewenang-wenangnya boleh membuat pengisytiharan kawasan keselamatan kerana ia perlu diwartakan dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas sama ada dipersetujui atau ditolak.

“Llihat seksyen 18(6). Inilah satu peruntukkan yang menunjukkan ketelusan, berbanding undang-undang darurat sebelum ini. Jadi pada pandangan saya, tidak seharusnya pembangkang takut malahan perlu dititikberatkan kerana ini soal keselamatan negara dan bukannya isu untuk dipolimikkan,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Irmohizam turut menjelaskan, dakwaan Perdana Menteri diberi lebih kuasa adalah tidak benar kerana menurut Seksyen 18 Akta MKN, pengisytiharan kawasan keselamatan perlu dilakukan atas nasihat MKN.

Justeru, kata beliau, ia bukan kuasa Perdana Menteri untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan kerana hanya dengan nasihat MKN sahaja.

“Perdana Menteri juga tidak boleh membuat keputusan yang boleh dibuat oleh ahli MKN dan secara khususnya mempunyai prosedur yang perlu dilaksanakan sebelum mengisytiharkan kawasan keselamatan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, melalui Akta MKN 2016, prinsip semak dan imbang demokrasi dapat dilaksanakan secara total dan mengekang daripada berlaku pencabulan kuasa.

“Kita tidak seharusnya biarkan negara ini di kuasai oleh anasir-anasir jahat yang tidak jemu menggangu gugat negara Malaysia kita ini.

“Hentikanlah persepsi dan tanggapan buruk terhadap niat baik kerajaan dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan kita rakyat Malaysia,” katanya. – mynewshub.cc