Akta Lindungi Lelaki: Senator PKR Mohon Maaf

KUALA LUMPUR – Senator PKR Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid membuat permohonan maaf dan menarik balik cadangan beliau kepada Dewan Negara pada Rabu, supaya diwujudkan akta gangguan seks bagi melindungi kaum lelaki.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mohamad Imran menyifatkan ia satu kesilapan besar dan mengakui, di luar jangkaannya, cadangannya itu telah menyinggung banyak pihak, baik lelaki mahu pun wanita.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terjejas dengan perbahasan saya kerana mencadangkan diwujudkan akta gangguan seks melindungi kaum lelaki semasa membahaskan rang undang-undang (RUU) Profesen Peguam Syarie pada 31 Julai di Dewan Negara.

“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki kerana dianggap menghina.

“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mohamad Imran semasa berbahas di Dewan Negara mencadangkan undang-undang gangguan seksual diwujudkan bagi menjamin keselamatan golongan lelaki sekali gus menjadikan negara aman.

Cadangan itu menerima kritikan banyak pihak, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihatnya sebagai tidak munasabah dan menghina kaum wanita.

Pada masa sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh turut terkejut dengan kenyataan Mohamad Imran itu.

Tegas Yeoh, wanita tidak patut dipersalahkan kerana pakaian mereka, sambil menambah, wanita yang menutup badan juga menjadi mangsa gangguan seksual dan rogol.

Loading...