Akta “Anti Lompat Parti” Perlu Digubal

Undang – undang khusus yang melarang mana-mana pihak untuk lompat parti selepas tamatnya pilihan raya perlu diadakan bagi jaga kepentingan pihak pengundi, menjamin integriti di kalangan ahli politik itu sendiri, serta kestabilan politik negara kita secara keseluruhannya.

Setiap ahli politik yang telah dipilih dan dilantik sebagai ahli parlimen ataupun dewan undangan negeri perlu menghormati proses pemilihan yang telah dijalankan melalui pilihan raya di mana rakyat telah bersuara melalui peti undi memilih calon politik berkenaan dan parti politik yang diwakili oleh mereka.

Isu lompat parti ini penting kerana jika ianya dibiarkan tanpa kawalan dari sekarang suasana politik dalam negara kita akan menjadi huru hara serta menjejaskan kerpercayaan rakyat terhadap sistem politik negara kita.

Walaupun begitu, kita harus juga bersikap lebih realistik dimana cadangan sesetengah pihak untuk mewujudkan sebuah undang – undang khusus “Anti Lompat Parti” sukar dilaksanakan pada masa kini dalam negara kita kerana sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya.

Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343: [1992] 1CLJ 463 telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kes Nordin bin Salleh ini berlaku ekoran tindakan kerajaan Kelantan dan diikuti kerajaan Sabah, ketika itu mengubal undang-undang antilompat bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti.

Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu terbabit, namun perlu diketahui juga pihak Mahkamah Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk mengubah keputusannya sendiri.

Pihak Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin bin Salleh itu serta mendapat satu bentuk perundangan yang baru terhadap isu lompat parti ini dalam negara kita. Proses pengkajian ini bukan lah satu perkara yang baru dilakukan.

Proses pengkajian semula ini boleh dilihat di dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, di mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 telah dikaji semula oleh Mahkamah yang sama pada tahun 2010.

Sebagaimana pihak Mahkamah Persekutuan telah mengkaji semula keputusannya dalam kes Boonsom Boonyanit selepas 10 tahun, adalah di harap pihak Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusannya dalam kes Nordin Salleh bagi menyelesaikan isu lompat parti dalam negara kita ini.

Banyak negara sudah memperkenalkan undang-undang ini kerana implikasinya yang besar kepada ketidakstabilan politik dan keamanan dalam sesebuah negara.

Kebanyakan negara mensyaratkan bahawa mana-mana wakil rakyat yang mahu bertukar parti boleh berbuat demikian selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi.

Amalan ini sama sekali tidak menjadi halangan kepada hak memilih persatuan seperti yang termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dan boleh dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan kelak dalam membuat interpretasi baru yang sesuai dengan keadaan semasa dan perubahan pada masa kini dalam negara kita.

Ia demi kestabilan politik jangka panjang dalam negara kita serta mengelakkan negara kita menjadi kucar – kacir akibat daripada isu lompat parti yang tidak berkesudahan ini.

Disediakan oleh
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)