Aksi Hong Kong-Malaysia Ditunda Ekoran Protes

KUALA LUMPUR – Aksi antarabangsa Tier 1 antara Hong Kong dan Malaysia yang dijadual berlangsung di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober ini ditunda ke satu tarikh baharu yang belum ditetapkan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat ekoran protes antikerajaan yang berlarutan di wilayah berkenaan sejak Jun lepas.

FAM bagaimanapun mencadangkan perlawanan itu dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil, namun gagal mendapat persetujuan bersama Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA).

“FAM semalam telah menghantar surat kepada Persatuan HKFA untuk memaklumkan bahawa skuad Harimau Malaya tidak dapat berkunjung ke Hong Kong atas faktor keselamatan ekoran keadaan semasa kekacauan awam di negara itu.

“Skuad kebangsaan hanya akan ke sana pada masa akan datang selepas situasi kembali normal,” menurut kenyataan itu.

Dengan perkembangan itu, skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe hanya akan menghadapi aksi antarabangsa Tier 1 berdepan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober.

Malaysia kemudian akan berlepas ke Hanoi bagi aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh pada 10 Oktober.

Loading...