Aksem Kedah Rampas Rokok Dan Minuman Keras Hampir RM1.5 Juta

BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kedah merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras tanpa lulus kastam hampir RM1.5 juta di Kampung Bukit, Permatang Pauh, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Komander Aksem Kedah, Abd Latiff Abdul Rahman berkata rampasan dilakukan pada pukul 5 pagi sebaik menemui lima kenderaan yang sarat dengan muatan yang ditinggalkan di kawasan lapang kampung berkenaan.

“Kita terima maklumat daripada orang awam dan risikan yang dibuat menemui tiga lori bonded (lori ais), sebuah van dan Proton Exora yang mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 500 karton minuman keras dan lebih 3,000 karton rokok disyaki tanpa lulus kastam bernilai hampir RM1.5 juta,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, modus operandi digunakan sindiket itu ialah dengan meninggalkan kenderaan tersebut dengan kunci di dalamnya sebelum ada pihak ketiga datang membawanya untuk pasaran tempatan.

Antara jenama rokok tersebut ialah John, d&j dan Mina manakala minuman keras seperti Heineken, Guinness, Anchor, Knox, Diablo, Special Brew dan Hunting Lodge.

Abdul Latiff berkata, siasatan awal mendapati kesemua rokok dan minuman keras itu dipercayai dibawa masuk melalui sempadan negara untuk dipasarkan bersempena perayaan Deepavali dan Krismas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan kastam.

Kesemua barang kes diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut – BERNAMA