AKSEM Kedah Rampas Beras Hancur RM200,000

ALOR SETAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas 68 metrik tan beras hancur bernilai kira-kira RM200,000 dari dua treler yang ditahan di Pekan Pokok Sena, dekat sini, semalam.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota diketuai Timbalan Komander Risik/Operasi, Insp Anandha Krisnan pada 4.25 petang hasil maklumat awam.

Terdahulu, anggota berkenaan menahan treler yang dipandu dua lelaki tempatan berusia 20 dan 40-an dalam keadaan mencurigakan menuju dari Kuala Nerang ke Alor Setar di persimpangan lampu isyarat di Pekan Pokok Sena.

“Kita tahan pemandu lori warga tempatan itu kerana kita meragui permit import yang mengatakan makanan haiwan atau dedak, sebaliknya apabila pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah beg jumbo berisi beras hancur.

“…beras ini kita percaya untuk dibawa ke kilang untuk dicampurkan dengan beras sedia untuk pasaran tempatan bagi mengaut keuntungan yang lebih dan ini rampasan pertama membabitkan beras hancur tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, beras itu dipercayai diseludup dari Thailand menerusi pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kota Putra, Durian Burung di Kuala Nerang.

Abdul Latif berkata, kesemua muatan beras dan treler bernilai kira-kira RM400,000 kemudian dirampas sebelum diserahkan kepada kepada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras negeri untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...