Akibat Kuat Kerja, Yusof ‘Berehat’ Di Hospital

SESETENGAH orang bekerja sampai lupa nak jaga kesihatan. Akhirnya apabila badan terlalu penat, hospital lah menjadi tempat berehat.

Terbaharu, pengarah tersohor, Datul Yusof Haslam telah dimasukkan ke Hospital KPJ Tawakal di ibu negara selepas mengalami keracunan makanan sejak pagi semalam.

Beliau mula rasa tidak sihat sejak beberapa hari yang lalu selepas dikatakan mengalami muntah-muntah, cirit-birit serta hilang selera makan.

“Saya sudah pergi ke klinik dan diberikan ubat. Masa itu selera makan sudah semakin kurang.

“Saya paksa juga diri untuk makan roti namun selepas makan, saya mula mengalami muntah-muntah dan terus ke hospital.

“Sudah beberapa kali saya muntah hingga membuatkan badan saya lemah,” kata Yusof, 63, dipetik daripada Astro Gempak.

Tambah pemilik syarikat filem Skop Production Sdn. Bhd. itu, dia tidak menolak kemungkinan jatuh sakit kerana tekanan kerja yang membuatkan dirinya berasa lemah sejak kebelakangan ini.

“Sekarang memang saya sibuk dengan mengendalikan syarikat dan terlibat dengan program televisyen.

“Syamsul pula sedang menjalani penggambaran filem Munafik 2. Jadi, ruang untuk saya berehat itu agak terhad,” ujar Yusof lagi.

Menurut doktor yang merawat pengarah filem Janji Diana itu, kemungkinan dia akan dirawat di hospital selama beberapa hari lagi sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Baginya, kejadian itu telah membuatkan dia sedar bahawa dia perlu menjaga kesihatan dirinya agar tidak terlalu fokus kepada kerja sehingga mengabaikan kesihatan.

“Selagi saya sihat, saya akan terus bekerja tetapi kena berjaga-jagalah supaya tidak memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan,” tambahnya lagi di akhir kata.

Beberapa pelakon dan penyanyi vateran juga kelihatan melawat Yusof di hospital termasuklah A.Galak, Nash Lefthanded, Datuk A. Rahman Hassan dan lain-lain.- Semoga kesihatan pengarah ini akan pulih seperti sedia kala agar dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah

Loading...