Akibat Gangguan, Harga Grab S$6 Singapura-NY

KECOH… Semua perjalanan yang dilakukan menerusi Grab di Singapura berharga S$6 (RM18) semalam tidak kira tempat mana dituju, akibat masalah aplikasi khidmat kereta sewa tersebut.

Isu aneh tersebut dipercayai menjejaskan jutaan penumpang bukan sahaja di Singapura, malah Malaysia, Filipina, Thailand dan Indonesia apabila pemandu Grab enggan terima tempahan bagi destinasi perjalanan jarak jauh.

Seorang pemandu Grab tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Marcus, memberitahu agensi berita Mediacorp Singapura bahawa masalah kadar tambang pelik berkenaan dikesan bermula pada sekitar 3.25 petang Khamis.

“Semua perjalanan ke mana-mana lokasi di Singapura waima ke New York, Amerika Syarikat hanya berharga S$6 bagi tempahan JustGrab. Ramai pemandu sedang menghubungi hotline Grab dan talian itu kini sibuk sekali.

“Saya menerima satu tempahan dan dapati tambangnya terlalu rendah, jadi saya menggunakan Google Maps untuk memeriksa jarak perjalanan dan terkejut apabila mendapati bahawa perjalanan itu adalah sejauh 12 kilometer!

“Saya kemudian memeriksa lokasi lain dan dari situlah saya mendapat tahu tentang masalah ganjil ini,” kata Marcus dan menambah bahawa beliau tidak menerima tempahan itu, sekali gus menjejas kadar tempahan diterimanya.

“Kami harus kekal kadar penerimaan yang tertentu bagi layak diri untuk insentif. Oleh itu, saya mematikan aplikasi saya dan menunggu sehingga Grab menghuraikan masalah ini sebelum menggunakannya semula,” tambah beliau.

Mediacorp cuba untuk tempah khidmat JustGrab dari 1 Stars Avenue di One-North ke Lapangan Terbang Changi dan kemudian ke Bukit Panjang turut mendapati bahawa tambang semua perjalanan setakat berharga S$6.

Baca: Isu Grab Jadi Bukti PH Memang Fitnah Rosmah

Juga: Teksi Gagal Tuntut ‘Janji Manis’ PH Haram Grab

Seorang lagi pemandu Grab, yang hanya ingin dikenali sebagai David, turut berkongsi pengalaman sama apabila beliau pertama kali mengetahui tentang masalah tambang seragam semua destinasi tersebut pada sekitar 3 petang.

Beliau turut melahirkan perasaan kecewa bahawa pihak Grab sendiri pula langsung tidak ambil inisiatif dengan memaklumkan para pemandunya mengenai masalah yang timbul tersebut dan langkah penyelesaian mereka.

“Apa yang harus kami (pemandu) buat sekarang? Terpaksa duduk dalam kereta buang waktu sahaja dan tunggu masalah ini diperbaiki? Siapa yang akan membayar kos sewa, minyak petrol dan kehilangan masa?” kata David.

Para pengguna Grab di republik itu turut berkongsi pengalaman mereka menerusi media sosial antaranya Fiza Aw menulis di laman Twitternya bahawa perjalanan yang dilakukannya dari Tampines ke Newton berharga S$6.

Sementara Adilah juga berkata beliau dikenakan tambang yang sama bagi perjalanan dari Politeknik Republic ke Pasir Ris. Malah, lebih dahsyat tambang ‘istimewa’ itu juga dikenakan bagi semua perjalanan antarabangsa.

Pada sekitar 3.50 petang, perjalanan dari Pioneer Road di Singapura ke Bangkok, Thailand didapati berharga S$6 manakala caj perjalanan dari Singapura ke New York pula melalui khidmat Grab itu juga dikenakan harga S$6.

GrabHitch, iaitu inisiatif kongsi kereta syarikat berkenaan, turut terjejas dengan ramai pengguna buat aduan di laman Facebook bahawa semua perjalanan melalui khidmat itu berharga S$5 (RM15) tanpa mengira destinasi.

Dalam pada itu Grab Filipina menyatakan bahawa aplikasi itu sedang “mengalami masalah” yang mungkin jejas segala tempahan perjalanan. Isu berkenaan namun kelihatan sudahpun berjaya diperbaiki pada sekitar 4.15 petang.

Tinjauan mendapati aplikasi tersebut kembali menunjukkan harga tambang yang berbeza bagi destinasi berlainan. Mediacorp sudahpun menghubungi pihak Grab bagi mendapatkan komen susulan. – Agensi/Mynewshub.TV