Air Timor Dulu Untung Kini Muflis Akibat Sriwijaya Air

DILI – Air Timor mendakwa pemerintah Timor Leste sengaja menghancurkan satu-satunya syarikat udara negara itu sendiri apabila memberi hak monopoli penerbangan kepada Sriwijaya Air.

Pengurusan Air Timor malah menuduh, pihak berkuasa turut membuka hak laluan penerbangan ke ibu kota Timor Leste kepada sebuah anak syarikat Sriwijaya Air sendiri iaitu NAM Air yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

Akibatnya, dua operator negara jiran itu pula kini menguasai jalur penerbangan antara Timor Leste dan Indonesia, sekali gus menyebabkan Air Timor menutup satu-satunya laluan perkhidmatan udaranya ke Denpasar, Bali.

“Keputusan pemerintah pada 2015 luluskan NAM Air terbang dari Denpasar ke Dili menjadikan laluan ini banyak penawaran berbanding permintaan,” kata mantan pengarah urusan Air Timor, Ed Turner kepada stesen ABC.

Ini menyebabkan terlalu banyak tiket dijual dibandingkan pelanggan sehingga syarikat penerbangan hanya mampu mengisi separuh kapasiti pesawat malah pada waktu tertentu ada yang langsung mencatatkan kosong penumpang.

“Walhal untuk bernafas, setiap pesawat harus minimum diisi 70 peratus kerusi untuk menanggung kos operasi. Harga tiket juga turun menjadi AS$70 (kira-kira RM312), jauh di bawah harga normal,” tambah Turner lagi.

timor1

Disebabkan pesawat kosong, beliau mendakwa Air Timor mencatatkan kerugian sehingga AS$10,000 (kira-kira RM44,620) setiap hari bahkan terpaksa merehatkan semua petugas di rumah masing-masing kerana tiada kerja.

Padahal jelas Turner, lebih setahun lalu, Air Timor merekodkan keuntungan bersih hampir AS$1 juta (kira-kira RM4.5 juta) dan ia mampu memiliki simpanan sendiri di bank sebanyak AS$2 juta (sekitar RM8.9 juta).

Malangnya hanya dalam waktu setahun Air Timor, daripada sebuah perusahaan tempatan paling berjaya setelah diasaskan pada 2007, kini sebaliknya ‘terjun’ rugi sehingga lebih daripada AS$4 juta (kira-kira RM17.8 juta).

Untuk rekod, pada zaman gemilang Air Timor pernah terbang ke Jakarta, Kupang dan Yogyakarta selain Darwin, Australia; Port Moresby, Papua New Guinea; Lisbon, Portugal; Taipei, Taiwan: Manila, Filipina serta Singapura.

Turner menyebut, salah satu punca penyebab kehancuran Air Timor adalah tindakan pihak pemerintah Timor Leste sendiri yang dinilai sebagai lebih menguntungkan Sriwijaya Air termasuk terma undang-undang penerbangan.

sriwijaya

Beliau memberi contoh, peraturan menetapkan usia pesawat tidak boleh lebih 20 tahun tetapi timbalan menteri pengangkutan, Inacio Moreira meminta Air Timor menggantikan pesawat berumur 18 tahun dengan Airbus A320.

“Pemerintah menyatakan kepada Air Timor bahawa ia juga meliputi Sriwijaya Air dan NAM Air yang memiliki pesawat dengan usia purata 22 tahun sehingga membatalkan permit terbang mereka pada September tahun lalu.

“Anehnya, tanpa alasan jelas selepas dua bulan kemudian, beliau tiba-tiba memperbaharui permit dua syarikat penerbangan asing itu dengan membenarkan kembali penggunaan pesawat berusia 22 tahun,” luah Turner.

Ketika meminta penjelasan Moreira, beliau hanya dimaklumkan bahawa ini semua adalah keputusan pemerintah sekali gus warga Timor Leste kini dihadapkan pada monopoli pelik dan menganaktirikan syarikat negara sendiri.

Walhal menurut Turner, berdasarkan rekod portal berpengaruh penerbangan antarabangsa, AirlineRating.com, Sriwijaya Air adalah antara 10 operator udara yang paling tidak selamat di dunia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA