Air Pasang: Pusat Pemindahan Banjir Dibuka Di Selangor

SHAH ALAM – Sebuah lagi pusat pemindahan mangsa banjir dibuka berikutan fenomena air pasang besar di Selangor, menjadikan empat pusat pemindahan beroperasi di negeri ini setakat ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, pusat pemindahan yang baharu dibuka itu ialah di Masjid Attaufiqiyah Desa Coalfield, Kuala Selangor dekat sini.

“Pusat pemindahan itu dibuka awal pagi ini susulan hujan lebat sejak tengah malam tadi yang menyebabkan paras air naik sehingga enam kaki (1.83 meter) di kawasan perumahan penduduk.

“Seramai 24 mangsa dari sembilan keluarga yang tinggal di Kampung Sentosa, Kuala Selangor dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Tiga pusat pemindahan lain ialah Surau Nurul Sham, Jalan Merbuk Batu 9 di Kuala Langat yang menempatkan 16 mangsa, Dewan Serbaguna Flat Cempaka, Klang (23 mangsa) dan Dewan Jalan Reko, Hulu Langat (17 mangsa).

Manakala pusat perpindahan di Dewan Teluk Pulai, Klang ditutup tengah hari semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, terdapat kejadian ban rebak dikesan di Kampung Sementa, Kapar, Klang, bagaimanapun tiada limpahan air memasuki penempatan penduduk.

“Selain itu, terdapat limpahan kecil air laut di permukaan jalan di perkarangan jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, namun keadaan masih terkawal.

“Di lain-lain kawasan pula, tiada limpahan air dikesan melepasi benteng atau ban sedia ada, dan keadaan dilaporkan terkawal berikutan cuaca pagi ini kembali cerah,” katanya.

Fenomena air pasang besar di Selangor yang berlaku sejak Isnin lepas dijangka berakhir petang ini. – BERNAMA

Loading...