Air Pasang Besar, Keadaan Pantai Di Selangor Terkawal

SHAH ALAM – Keadaan pantai di lima daerah di Selangor masih terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku di pesisir…

SHAH ALAM – Keadaan pantai di lima daerah di Selangor masih terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku di pesisir pantai berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku awal hari ini.

Menurut kenyataan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, ban ataupun benteng kepada pesisir pantai kukuh dan berada dalam keadaan baik selain tiada rebakan berskala besar.

“Tiada sebarang pusat pemindahan yang dibuka setakat ini sehingga pukul 9 pagi ini,” katanya.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula hari ini hingga 12 Sept di pesisiran pantai negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kenyataan itu menyebut kemuncak air pasang di pesisiran pantai negeri Selangor dicatatkan di Pelabuhan Klang pada kadar 5.4 meter kira-kira pukul 6.25 pagi, namun keadaan masih terkawal.

“Hujan lebat hari ini turut menyebabkan banjir kilat di Jalan Jepun dan Kampung Delek di daerah Klang, namun paras air surut selepas kunci air dibuka,” katanya. – BERNAMA

Loading...