Ainul Mardhiah Sudah Pandai Senyum Dan Gelak

MELAKA – “Alhamdulillah, Ainul Mardhiah sudah pandai tersenyum dan gelak bila kita suka mengagahnya,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi kesayangan rakyat Malaysia yang sebelum ini menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut.

Ainul Mardhiah yang kini berusia 14 bulan juga tidak banyak meragam walaupun masih perlu bergantung pada alat sokongan pernafasan serta memakai alat membersihkan kahak.

“Berat badan Ainul Mardhiah juga turun naik. Sekarang beratnya 3.87 kilogram (kg).

“Esok pula, dia sekali lagi akan membuat rutin pemeriksaan biasa di Hospital Melaka, susulan daripada pembedahan di London, United Kingdom (UK), tempoh hari.

“Dalam sebulan, dua kali Ainul Mardhiah perlu menjalani rutin pemeriksaan biasa ini. Alhamdulillah, setakat ini perkembangan kesihatannya cukup baik serta mengikut apa yang dirancang oleh pasukan perubatan sebelum ini,” katanya yang ditemani isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24, ketika ditemui BH di rumahnya di Rumah Awam Ayer Molek, di sini, hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, mereka sekeluarga juga kerap berhubung dengan pasukan perubatan di UK yang turut gembira menyaksikan perkembangan positif bayi mereka.

Ditanya kemungkinan ada lagi rawatan susulan selepas ini, beliau berkata, Ainul Mardhiah dijangka menjalani pembedahan sumbing atau ‘cleft palate’ pada bahagian lelangitnya.

Bagaimanapun, katanya, pembedahan itu tidak akan dilakukan dalam waktu terdekat, sebaliknya bergantung kepada perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah.

“Doktor yang membuat rawatan susulan di sini yang akan menentukan tempoh masa untuk Ainul Mardhiah melakukan pembedahan cleft palate ini. Sama ada usianya dua atau tiga tahun, atau mungkin lebih awal bergantung kepada perkembangan kesihatannya.

“Mungkin juga pembedahan dibuat di Malaysia, kerana kita sudah mempunyai ramai pakar dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, gelagat Ainul Mardhiah turut mencuri tumpuan ketika pertemuan di rumah keluarganya. Tidak banyak meragam, Ainul Mardhiah yang hanya berbaring di atas tilam juga begitu leka memegang bahagian plastik alat membersihkan kahak yang sudah menjadi ‘permainannya’.

BH sebelum ini melaporkan Ainul Mardhiah berada di London lebih dua bulan sejak 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser Germ Cell Tumor di mulut.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah. – BH Online

Loading...