Ainul Mardhiah Sambut Ulang Tahun Kelahiran Pertama

KUALA LUMPUR – Bayi yang mencuri tumpuan ramai, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin menyambut ulang tahun kelahiran pertama hari ini selepas selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam mulutnya di London, England pada 11 Jun lalu.

Perkongsian di laman sosial Facebook milik bapanya, Ahmad Safiuddin turut menyatakan rasa syukur kerana keadaan anaknya kini semakin baik selepas menjalani pembedahan selama lima jam di sebuah hospital kanak-kanak di London bagi membuang sel kanser mulut Germ Cell Tumor.

“Alhamdulillah, keadaan Ainul Mardhiah bertambah baik. Berat sekarang pun sudah 3.6 kilogram.

“Esok genap usia Ainul Mardhiah 1 tahun iaitu pada 13 Ogos,” katanya pada hantaran yang dibuat di laman Facebook milik­nya semalam.

Difahamkan, beliau dan isterinya merancang untuk mengadakan sambutan yang sederhana dan secara kecil-kecilan.

Hantaran di Facebook milik bapa Ainul Mardhiah me­maparkan gambar bayi itu yang mendapat liputan secara langsung di sebuah program televisyen.

Ia mendapat kira-kira dua ribu tanda suka dan komen-komen positif yang mendoakan kesihatan serta ucapan selamat menyambut ulang tahun yang pertama.

Satu hantaran komen daripada Nurfatehah Mohd. Jainon berkata: “Syukur Alhamdulillah. Semoga Ainul Mardhiah sentiasa sihat dan membesar dengan baik.”

“Alhamdulillah, selamat ulang tahun yang pertama Ainul Mardhiah,” menurut Nuriza Yusiza pula.

“Selamat hari lahir Ainul Mardhiah sayang. Aunty doakan Ainul Mardhiah sentiasa sihat dan membesar seperti kawan-kawan sebaya yang lain,” ucapan daripada Siti Noor.

Bayi kesayangan ramai tersebut masih di bawah pemantauan lanjut pihak doktor bagi memastikan kesihatannya sentiasa dalam keadaan baik.

Berdasarkan perkongsian bapanya di laman Instagram, Ainul Mardhiah kini menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan gemar menghisap jari tangannya yang tidak boleh dilakukan oleh bayi tersebut sebelum menjalani pembedahan.

Kisah bayi yang mengalami ketumbuhan di dalam mulut itu mendapat tumpuan masyarakat dan pembedahan yang mence­cah RM1 juta tersebut berjaya dilaksanakan sekumpulan pakar bedah serta anestetik, selain bantuan pelatih pakar bedah negara, Dr. Nur Amalina Che Bakri.

Loading...