Aidilfitri: Syarikat Diminta Tambah Jumlah Penerbangan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan meminta syarikat-syarikat penerbangan menambah bilangan penerbangan domestik khususnya pada musim perayaan ini, bagi membolehkan penumpang membuat pilihan harga.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata apabila tawaran tiket penerbangan itu lebih banyak maka harga purata sesebuah penerbangan juga akan sedikit menurun.

“Harga yang sangat tinggi ini biasanya berlaku jika tinggal beberapa tempat (kerusi) dalam setiap penerbangan. Bukan setiap tempat duduk dalam penerbangan akan dapat harga yang tinggi.

“Ia (harga tiket) meningkat apabila ada permintaan lebih tinggi dan tinggal beberapa kerusi sahaja (dalam satu penerbangan), jadi ia (harga) akan meningkat,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan berhubung harga tiket penerbangan domestik yang tinggi menjelang Aidilfitri awal Jun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Ekspres Musafir di Terminal Bas Bersepadu, di sini hari ini yang turut dihadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Parames Albakri dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Siti Zaharah Ishak.

Loading...