Ahmad Maslan Tawar Konsultan Percuma Jika Laksana Semula GST

KUALA LUMPUR – Sekiranya Pakatan Harapan (PH) bersetuju melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menawarkan diri untuk menjadi konsultan percuma kepada kerajaan.

Menurutnya, beliau akan bertemu rakyat bagi menjelaskan kebaikan GST kepada mereka dan semuanya akan dibuat secara percuma.

“Saya adalah individu yang paling gembira kalau GST dikembalikan. Saya cadangkan agar cadangan kembalikan GST perlu diteliti kerajaan.

“Saya yakin bahawa 170 negara yang laksanakan GST tidak silap, 88 peratus negara dalam dunia yang laksana GST tidak silap. GST tidak silap. Yang silap bila laksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana SST adalah cukai kuno dan tidak telus,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mengulas cadangan pelaksanaan GST pada kadar tiga peratus, Ahmad secara peribadi berpendapat kadar tersebut agak rendah.

“Kalau tiga peratus terlalu rendah, mungkin boleh turun ke lima peratus. Kalau tidak, kerajaan tidak akan mendapat pendapatan sewajarnya.

“Pendapatan itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menegaskan beliau tidak pernah menerima cek dengan jumlah yang ditunjukkan kepadanya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya telah disiasat oleh dua pihak berhubung dakwaan bahawa saya menerima wang yang dikatakan berkaitan 1MDB.

“Pertama kali siasatan oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan kedua oleh pihak SPRM sebelum ini. Namun saya telah memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan jumlah yang ditunjukkan,” katanya.

Tambahnya, beliau juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa beliau tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan.

“Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk tindakan seterusnya,” katanya. – Sinar Harian

Loading...