Ahmad Faizal Letak Jawatan Menteri Besar Perak

IPOH –┬áDatuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu menjadikan semua jawatan ahli-ahli Exco kerajaan negeri terlucut secara automatik.

“Saya telah menyembah maklum kepada baginda tuanku apabila Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) keluar daripada Pakatan Harapan (PH), tergugurlah kerajaan PH di Perak.

“Selari dengan perkara itu, saya telah persembahkan warkah peletakan jawatan selaku Menteri Besar dan memaklumkan pelucutan semua jawatan ahli-ahli Exco secara serta-merta,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan luar Istana Kinta hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak dipanggil mengadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini.

Menurutnya, dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu, pihaknya telah menyembah maklum nama calon Menteri Besar yang baharu daripada Bersatu.

“Bersatu telah mencalonkan saya sebagai Menteri Besar dari Bersatu,” katanya.

Semalam, Ahmad Faizal mengesahkan bahawa parti itu bersama UMNO dan PAS mencapai persetujuan membentuk gabungan baharu selepas memperoleh majoriti 32 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gabungan Perikatan Nasional di Perak diwakili 25 kerusi UMNO, PAS (3) dan Bersatu (4).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang sebelum ini Bebas dan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun umum keluar parti dan menyertai Bersatu. – Sinar Harian

Loading...