Ahmad Faizal Berharap PN Perak Tak Berpecah-Belah

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap Perikatan Nasional (PN) di Perak tidak berpecah-belah. 

Ahmad Faizal berkata, beliau ketika ini masih menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar kepada kerajaan negeri sehingga ada Ahli Dewan Undangan Negeri yang memiliki majoriti dilantik sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Beliau berkata, setakat ini PN di Perak masih kukuh dan UMNO masih bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

“Setahu saya ya (masih intact), tetapi hari ini mereka mengambil tindakan (membawa usul undi percaya) seperti pagi tadi tanpa berbincang dengan rakan-rakan lain tentunya kami dari BERSATU sedikit terasa hati sedikit. 

“Ia agak mengambil masa untuk kita duduk balik bersembang, tetapi pada saya kerajaan PN di peringkat pusat masih ‘intact’, jadi saya berharap PN di Perak ini tidak berpecah-belah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik keluar daripada perkarangan Istana Kinta bagi mengadap sembah Sultan Perak di Istana Kinta di sini petang ini.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi BERSATU Perak berkata, beliau sudah mengadap sembah maklum berkenaan perkara di Sidang DUN pagi tadi kepada Sultan Perak. 

“Alhamdulillah saya berkesempatan mengadap Sultan Perak dan dalam waktu saya mengadap tadi saya menyembah maklum mengenai apa yang berlaku di Sidang DUN Perak pagi tadi. 

“Saya menyembah maklum mengenai keadaan yang mana saya kehilangan majoriti dan tentunya Tuanku perlu membuat beberapa pertemuan dan sehingga baginda membuat satu keputusan untuk memilih seorang daripada kalangan ADUN yang mempunyai majoriti secukupnya untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata hanya beliau yang menghadap sembah sementara Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin bersama orang besar negeri Perak hadir bersama.

ADUN Chenderiang itu berkata, beliau turut berharap agar kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan segera dan berharap rakyat bersabar untuk menantikan titah seterusnya daripada Sultan Perak.

Katanya, setakat ini programnya bersama kerajaan negeri masih diteruskan seperti mana biasa.

Beliau turut mengulas apabila ditanya berhubung kenyataan PAS yang tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu. 

“Inilah yang saya sebutkan jika kita mengambil keputusan yang hanya mementingkan sesuatu maksud akan menyebabkan reaksi daripada pihak lain yang tidak mendatangkan keuntungan kepada kita sendiri, macam sekarang ini,” katanya.

“Ia bermasalah sekarang yang memerlukan kita mencari jalan macam mana nak tubuhkan kerajaan,” katanya. – BH Online