Ahli UMNO Buat Laporan Ke Atas Waytha Moorthy

POKOK SENA – Seramai 50 ahli UMNO Pokok Sena membuat laporan bagi mendesak tindakan tegas diambil ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Naib Ketua UMNO Bahagian itu, Noran Zamini Jamaludin, berkata laporan itu dibuat susulan rakaman video pemimpin berkenaan yang keterlaluan dan memburukkan imej negara.

Katanya, kenyataan itu juga turut menghina agama Islam serta mengundang perpecahan kaum di negara ini.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap Pengerusi Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu kerana tindakannya keterlaluan sehingga memberi gambaran buruk terhadap Malaysia.

“Kenyataan itu turut memfitnah kerajaan terdahulu yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kaum dan agama. Selama ini rakyat hidup dalam semangat muhibah, fitnah beliau sudah melampaui batas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena di sini, hari ini.

Noran Zamini berkata, laporan itu juga dibuat supaya pelaku di dalam video berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang berkaitan.

“Kami bimbang jika tiada tindakan diambil, akan ada mana-mana kaum mengambil tindakan susulan yang boleh menghuru-harakan negara.

“Jadi, sebelum sebarang tindakan sendiri diambil, diharap kerajaan dapat bertindak segera,” katanya. – BH ONLINE

Loading...