Ahli Politik Tidak Boleh Agihkan Zakat

ARAU – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan seseorang ilmuan agama itu hendaklah mengambil kira realiti dalam mengeluarkan fatwa atau pandangan mengenai hukum apabila membincangkan isu siapakah yang boleh menyerahkan zakat kepada asnaf.

Beliau berkata, isunya bukan sama ada pemberian zakat itu boleh diwakilkan atau tidak, sebaliknya jika ruang itu dibuka ia akan dijadikan platform berkempen politik kepartian menggunakan agama khususnya zakat.

Katanya, umat Islam hendaklah bekerja dengan meminimakan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian yang mempunyai agenda yang bersifat kelompok dan peribadi.

“Ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian merupakan musibah besar kepada umat ini. Seseorang ilmuan agama hendaklah mengambil kira realiti ini dalam mengeluarkan fatwa atau pandangan hukum apabila membincangkan isu siapakah yang boleh menyerahkan zakat kepada asnaf,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menjelaskan adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada bagi menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf berdasarkan sudut hukum fikah.

Menurut beliau, perkara itu hanya yang berkaitan dengan muamalat dan ibadat maliyah seperti zakat, nazar dan kafarah.

Isu tersebut timbul apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam yang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan zakat.

Chun Kit dalam status dimuat naik di dalam laman Facebook menjelaskan kit bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, sepanjang beliau bertugas di negeri ini, hanya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail atau Raja Muda Perlis, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menyerahkan zakat.

Katanya, hal demikian bagi mengelakkan isu pemberian zakat itu menjadi salah tujuan atau dijadikan kempen politik kepartian.

Ujarnya, antara titah Raja Perlis yang amat beliau hargai ialah apabila orang politik tidak diizinkan menyerahkan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf.

“Jika tiada, maka orang yang diperkenankan oleh Raja atau Yang Dipertua MAIPs. Pastinya mereka bukan daripada kalangan orang politik.

“Dalam majlis pemberian zakat, mufti atau CEO (Ketua Pegawai Eksekutif ) MAIPs akan menyerahkan ke tangan Tuanku Raja atau Tuanku Raja Muda. Orang politik yang hadir boleh menjadi saksi bersama yang lain. Demikian jugalah majlis penerima zakat oleh MAIPs.” – UTUSAN ONLINE

Loading...