“Pemimpin Berpolitik, Mangsa? Rakyat.. Merompak, Mangsa? Rakyat”

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat bahawa raja-raja harus memainkan peranan, bersuara dan menggunakan kuasa demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negara.

Pandangan tersebut disuarakan oleh Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya yang menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat.

Kenyataan yang dibuat Tunku Ismail itu dipercayai merujuk kepada pemimpin dan ahli politik yang hanya memikirkan soal kepentingan peribadi hingga mengetepikan masalah rakyat ketika dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut penulisan Tunku Mahkota Johor itu, rakyat hanyalah menjadi mangsa akibat kerakusan pemimpin yang hanya mementingkan diri dengan mengutamakan kepentingan mereka sahaja.

“Ahli politik berpolitik, mangsa? rakyat. Berlakon, mangsa? rakyat. Merompak, mangsa? rakyat. Bergaduh, mangsa? rakyat.

“Raja-raja pula harus memainkan peranan, bersuara dan menggunakan kuasa demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negara,” titah baginda di laman media sosialnya.

Titah Tunku Ismail, semua pihak perlu menggalas tugas masing-masing bagi memulihkan semula kestabilan negara dari setiap sudut.

“Jikalau semua pihak dalam sistem pentadbiran hanya memikirkan kepentingan peribadi, maka hancur negara.

“Semua harus menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk memulihkan kestabilan negara ini di dalam setiap aspek. Mohon Ampun,” titah Tunku Ismail. – UTUSAN ONLINE