Ahli PH Tidak Ikut Pemimpin Akan ‘Dibelasah’

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad secara berseloroh, berkata ahli Pakatan Harapan (PH) perlu mengikut kata pemimpinnya atau jika tidak, mereka akan ‘dibelasah’.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata demikian ketika mencelah jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab satu soalan daripada wartawan yang ditujukan kepada Presiden PKR itu.

“Ahli PH kena mengikut pemimpinnya. Kalau tidak ikut. kita ‘belasah’,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Sejurus berkata demikian, kedua-dua Dr. Mahathir dan Anwar kelihatan ketawa, begitu juga beberapa pemimpin PH dan wakil media.

Anwar sebelum itu ditanya sama ada beliau akan meneruskan segala dasar pentadbiran Dr. Mahathir selepas mengambilalih kepemimpinan negara kelak berikutan kebimbangan pelabur mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson yang duduk bersebelahan Dr. Mahathir menjelaskan Perdana Menteri bertindak atas dasar yang diputuskan PH.

“Perdana Menteri bertindak atas dasar PH dan saya seorang ahli PH… cukuplah,” katanya. – BH Online