Ahli Perniagaan Direman Kes Samar Pegawai SPRM

PUTRAJAYA – Seorang ahli perniagaan direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes menyamar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meminta suapan sebanyak RM2 juta untuk menyelesaikan kes melibatkan seorang individu berpangkat “Datuk Seri”.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 48 tahun itu bermula hari ini sehingga 18 Nov ini untuk membolehkan SPRM membuat siasatan.

Lelaki itu ditahan selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 10.20 malam semalam dan adalah individu kelima yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sabtu lepas, empat lelaki berusia antara 33-49 tahun direman enam hari sehingga 15 Nov ini bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat lelaki berkenaan bersubahat untuk meminta wang suapan sebanyak RM2 juta daripada seorang lelaki bergelar “Datuk Seri” yang dipercayai mempunyai kes membabitkan SPRM.

Kes itu terbongkar susulan mangsa membuat laporan di SPRM.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – BERNAMA