Ahli Parlimen UMNO, PAS Sokong Muhyiddin Kekal PM

26

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen UMNO dan PAS akan memberikan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, menjelaskan bahawa pendirian itu selaras keputusan Muafakat Nasional untuk menyokong kepemimpinan Muhyiddin.

Katanya, keputusan itu dicapai secara sepakat oleh Muafakat Nasional dalam satu mesyuarat khas pucuk pimpinan yang dihadiri Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung kedua-dua parti.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Muafakat Nasional sepakat memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selari dengan keputusan itu, semua Ahli Parlimen UMNO dan PAS memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Isu sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kembali diperkatakan selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu, Jumaat lalu.


Usul itu dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 4 Mei lalu bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Semalam, Mohamad Ariff memaklumkan, Dewan Rakyat tidak bersidang selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada majlis perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga, Parlimen ke-14, Isnin ini.

Beliau menjelaskan, kerajaan memutuskan perkara itu berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini masih belum reda sepenuhnya.