Ahli Parlimen Tak Patut Dihalang Bertemu Rakyat

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan lelaki yang menyerang dan menghalau Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong ketika mengedarkan kurma di sebuah bazar Ramadan di Kluang, Johor tidak sepatutnya berlaku.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, walaupun Chin Tong bukan beragama Islam, beliau tidak sepatutnya dihalang untuk mengedarkan kurma kepada masyarakat Islam apatah lagi dimarahi dengan kata-kata kesat.

“Beliau adalah seorang ahli parlimen yang mana menjadi tanggungjawab beliau untuk mendekati masyarakat di kawasannya tanpa mengira kaum dan agama.

Ahli Parlimen Tak Patut Dihalang Bertemu Rakyat

“Dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, penting untuk kita memupuk semangat perpaduan dan saling hormat menghormati antara sesama insan walaupun berbeza kaum, agama dan fahaman politik,” katanya.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Islam sendiri tidak mengajar umatnya untuk bertindak kasar walau kepada sesiapa pun.

“Setiap orang Islam sepatutnya menampilkan akhlak yang sebenar dan Islam menuntut umatnya supaya bersikap ramah atau mengasihi sesiapa sahaja.

“Menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu klip video yang memaparkan Chin Tong dan rakan-rakannya diserang oleh sekumpulan lelaki ketika mengagihkan kurma untuk berbuka puasa.

Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah bazar Ramadan dalam Parlimen Kluang.

Susulan daripada kejadian itu, dua lelaki telah ditahan polis untuk membantu siasatan. Bagaimanapun kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka diambil. – MYNEWSHUB.CC

https://www.youtube.com/watch?v=g5favRmTqSQ

Loading...