Ahli Parlimen PH Kecewa Pusingan U Menteri

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen daripada Pakatan Harapan (PH) menzahirkan kekecewaan dalam laman Facebook miliknya susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong bahawa tiada keperluan untuk sesi sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Parlimen setakat ini.

Chen turut menyifatkan perkara tersebut sebagai satu lagi pusingan U (U-turn) PH yang tersasar daripada manifesto mereka untuk mereformasi negara.

“PMQ boleh menjadi platform ahli-ahli Parlimen untuk mengajukan pertanyaan kepada Perdana Menteri, yang pada keadaan lain tidak wajib menjawab soalan di Dewan Rakyat.

“Ia bertujuan sebagai alternatif untuk semak dan imbang, sebagai ganti kepada jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) memandangkan tiada PSC untuk memantau Pejabat Perdana Menteri dalam model Parlimen Westminster.

“Tujuan mengadakan PMQ ialah agar Perdana Menteri lebih responsif dan bertanggungjawab. Pada masa ini, kuasa Perdana Menteri dalam demokrasi gaya Malaysia sangat luas dan luar dari kebiasaan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya semalam. – UTUSAN ONLINE

Loading...