Ahli Parlimen Pasir Salak Positif COVID-19

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disahkan positif COVID-19.

Menurut hantaran menerusi Facebook rasminya, Tajuddin yang melakukan ujian saringan itu semalam menerima keputusannya hari ini.

Jangan Risau… Klik Sini

“Tajuddin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan beliau. Bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan beliau eloklah melakukan ujian saringan COVID-19,” demikian menurut hantaran tersebut.

Pada satu sidang media 12 Januari lalu, Tajuddin dilihat duduk bersebelahan dengan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang disahkan positif COVID-19 semalam.

Selain Mohamed Nazri, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique juga disahkan positif COVID-19 semalam.

Sebelum ini, turut disahkan positif antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. – BERNAMA