Ahli Parlimen PAS Tak Bersama Anwar – Tuan Ibrahim

PETALING JAYA – PAS mengesahkan tiada seorang pun wakil rakyatnya menyokong Anwar Ibrahim, tidak lama selepas presiden PKR itu mengumumkan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” bagi membentuk kerajaan.

“Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” kata Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, Naib Presiden Nik Mohd Amar Abdullah meminta tunggu kenyataan perdana menteri “petang nanti”.

Terdahulu, Anwar pada sidang media mengumumkan dapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu, dengan “majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam”.

Anwar mendakwa beliau boleh membuktikan sokongan itu “secara konklusif”.

“Majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam,” kata Anwar.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, BN mempunyai 43 wakil rakyat, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), PBS (2), dan PSB (1).

Sembilan ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas. – FMT

Loading...