Ahli Parlimen Nibong Tebal Stabil – Wan Azizah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, yang rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, berada dalam keadaan stabil.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, berkata pemeriksaannya dan doktor Parlimen mendapati tekanan darah Mansor sudah kembali normal.

“Alhamdulillah dia sudah ok. Mungkin tekanan darah turun sikit tadi tapi kini sudah pulih, tapi masih perlu ikut prosedur dan akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan sepenuhnya.

“Ketika saya sampai di dalam Dewan Rakyat tadi, dia sudah boleh bercakap. Saya tanya kenal tak siapa (saya), dia jawab kenal. Tekanan darah pun sudah naik, kandungan gula pun ok.

“Doktor kata, mungkin dia rebah akibat ‘syncopal attack’. Bila awak bangun, bercakap, kemudian tekanan darah tiba-tiba menurun sikit menyebabkan pitam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 terhenti seketika selepas Mansor rebah secara tiba-tiba ketika sedang berbahas, pada jam 3.18 petang.

Beliau dilihat terdiam secara tiba-tiba, hilang imbangan dan rebah perlahan-lahan, sebelum disambut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang duduk di sebelahnya.

Beberapa pegawai perubatan dan Ahli Parlimen kemudian bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat bagi memberi bantuan kecemasan.

Othman yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, kemudian dipapah beberapa petugas keluar dari Dewan Rakyat dan menjalani pemeriksaan selama kira-kira 10 minit di klinik Parlimen, sebelum dibawa ke luar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Wong Chen yang ditemui selepas itu berkata, dia mula menyedari pertuturan Mansor semakin kurang jelas dan berdiri tidak stabil sebelum kejadian.

“Saya terus berdiri dan memegang Mansor, sebelum Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berlari membantu,” katanya.

Dr. Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang juga seorang doktor perubatan pula bergegas memeriksa keadaan Mansor.

“Kami membuka ruang untuk beliau baring, kemudian mengangkat kakinya sedikit ke atas,” katanya. – BH Online

Loading...