Ahli Parlimen Klang Direkod Keterangan Langgar PKP

KLANG – Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago antara yang dipanggil polis hari ini untuk direkod keterangan susulan dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa mengagihkan bantuan di sebuah dewan di Jalan Sungai Keramat 9, Taman Klang Utama di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, seramai enam individu termasuk ahli parlimen berkenaan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira jam 11 pagi.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Siasatan dijalankan susulan pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung penyerahan bantuan di dewan terbabit kira-kira jam 10.20 pagi, kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516

Terdahulu, polis yang tiba di dewan berkenaan mendapati kira-kira 200 hingga 300 orang berkumpul di lokasi terbabit yang turut dihadiri ahli parlimen tersebut bersama beberapa pembantunya bagi mengagih bantuan kepada penduduk.

Nurulhuda berkata, bantuan tersebut adalah berupa barang basah iaitu sayur-sayuran.

“Hasil siasatan mendapati pihak penganjur ada mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan aktiviti pada 27 April tetapi aktiviti tersebut telah dijalankan pada 26 April.

“Kita juga mendapati tiada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ataupun Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di situ untuk mengawal aktiviti tersebut. Keadaan pada masa itu juga didapati tiada penjarakan sosial dan kaedah pemberian sumbangan juga tidak disusun dengan teliti,” katanya.

Justeru, polis menasihatkan kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang hendak memberi bantuan kepada penduduk supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Loading...