Ahli Parlimen, ADUN Terima Vaksin COVID-19 Fasa Pertama

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menjadi antara penerima vaksin COVID-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

“Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju Ahli Parlimen dan ADUN tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama JKJAV.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Februari ini dan Perdana Menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta Dr Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi COVID-19 berkenaan.

Ditanya mengenai permintaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya petugas media dan guru turut dimasukkan sebagai penerima vaksin COVID-19 fasa pertama, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempertimbangkan permintaan daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

“Jika kami dapati mereka berisiko sekiranya tidak divaksin, maka kami akan mempertimbangkan mereka sebagai antara penerima pertama program vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata kerajaan memperuntukkan 300,000 dos untuk petugas barisan hadapan kakitangan perubatan dan kesihatan dalam fasa pertama program vaksinasi manakala 200,000 dos untuk barisan hadapan daripada kalangan anggota keselamatan, pegawai kebajikan dan ahli politik.

Sebelum ini dilaporkan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam tiga fasa menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma.

Fasa pertama bermula Februari hingga April untuk 500,000 petugas barisan hadapan manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan. – BERNAMA