AGRA Anjur Perhimpunan Esok Bantah Persidangan Dong Zong

KUALA LUMPUR – Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) akan menganjurkan perhimpunan di Kolej New Era bagi membantah persidangan Dong Jiao Zong esok.

Menurut atur cara program, AGRA dan dua NGO itu akan mula berkumpul di lokasi pada pukul 6 pagi menunaikan solat subuh berjemaah di hadapan Kolej New Era diikuti kuliah Subuh sebelum memulakan demonstrasi bantahan pada pukul 7 pagi.

AGRA menyifatkan perhimpunan anjurannya itu bertujuan menyelamatkan Dong Zong daripada menjadi pengkhiatan disebabkan oleh kealpaan mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga NGO itu mendesak Dong Zong segera menghentikan hasrat penganjuran kongres yang disifatkan sebagai jelas mengkhianati kepentingan negara.

Ini kerana, kata mereka, penganjuran kongres membantah pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular bertentangan dengan perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dalam masa yang sama mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja.

“Hal ini berikutan Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menyatakan pandangan baginda mengenai isu ini menerusi laman sosial ‘Twitter’ baginda sendiri.

“Baginda sendiri menitahkan bahawa Jawi bukan ‘Me-Melayukan bukan Melayu’ dan bukan ‘Meng-Islamkan orang bukan Islam’. Ia suatu seni tulisan identiti negara sebagaimana Cina dan Arab mempunyai seni tulisan mereka sendiri.

“Kami tidak mahu Dong Zong dianggap sebagai pengkhianat malah Dong Zong perlu beringat dan memgimbau kembali sejarah tanahair kerana Dong Zong pada hari ini tidak akan wujud tanpa toleransi berbilang kaum untuk bersama dan bersatu padu,” kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu, AGRA turut melahirkan hasrat untuk mengadakan Dong Zong dan badan-badan pendidikan nasional dalam menyelesaikan isu tulisan Jawi supaya pertubuhan Cina itu dapat menerima Hawi sebagai kebudayaan nasional.

“Perbezaan pandangan yang timbul perlu diselesaikan melalui perbincangan rasional dan semangat toleransi bagi meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum demi kemakmuran dan kemajuan negara,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Dong Zong tetap berkeras meneruskan kongres bantahan tulisan Jawi maka pertubuhan itu perlu mengalu-alukan kedatangan AGRA. – MalaysiaGazette

Loading...