Agong Ucap Tahniah Kepada Kerajaan Jepun

TOKYO – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Jepun atas kelancaran perjalanan Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito di Istana Imperial di sini, yang dihadiri ratusan ketua negara dan kenamaan dari seluruh dunia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, baginda menzahirkan ucapan itu kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada pertemuan mereka yang berlangsung di Rumah Tamu Negara Akasaka, di sini, semalam, selepas upacara pertabalan itu selesai.

Katanya, Al-Sultan Abdullah yang berkenan menerima menghadap Abe juga mengetepikan protokol untuk berkunjung ke lokasi pertemuan tersebut, bagi meningkatkan hubungan baik yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun.

“Pada pertemuan yang berlangsung selama 20 minit itu, Seri Paduka turut menzahirkan tahniah kepada pasukan ragbi Jepun yang mencipta sejarah layak ke suku akhir Piala Dunia Ragbi buat kali pertama baru-baru ini.

“Abe yang berterima kasih kepada baginda berjanji akan menyampaikan ucapan itu kepada pasukan dan berharap ia akan membakar semangat mereka untuk menunjukkan prestasi lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, pada pertemuan itu juga, baginda menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan Jepun atas kehilangan nyawa lebih 70 orang dan kemusnahan akibat Taufan Habigis pada 12 Oktober lepas serta berharap mangsa yang terjejas akan segera bangkit daripada tragedi tersebut.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menyentuh mengenai hubungan akrab kedua-dua negara, termasuk menerusi lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Jepun pada Oktober 2012, selain lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak enam kali sejak 2018.

Selain itu, Maharaja Naruhito juga pernah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada April 2017 semasa bergelar Putera Mahkota Jepun, selain lawatan negara oleh ayahanda baginda, Maharaja Akihito pada Jun 2006.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan bahawa Malaysia sangat menghargai hubungan dua hala dengan Jepun selain kedua-dua negara mempunyai pertalian kuat dalam sektor ekonomi yang mana Jepun ialah negara kedua utama bagi pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia pada 2018 dan berharap ini akan berterusan,” katanya.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke sini, adalah selepas berkenan memenuhi undangan kerajaan Jepun bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito selaku Maharaja ke-126 negara matahari terbit itu.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, menandakan bermulanya era baharu iaitu ‘Reiwa’ yang bererti harmoni dan tertib bagi menggantikan ayahanda baginda, Maharaja Akihito, 85, yang melepaskan takhta sekali gus mengakhiri era ‘Heisie’ iaitu mencapai keamanan di bawah pemerintahan baginda.

Ironinya, Al-Sultan Abdullah dan Maharaja Naruhito menaiki takhta pada tahun ini, selepas ayahanda baginda berdua melepaskan takhta kepada anakanda lelaki sulung masing-masing atas faktor kesihatan.

Lawatan ini juga adalah yang pertama Al-Sultan Abdullah ke Jepun, selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu, dan sepanjang berada di sini, jadual baginda amat padat dengan majlis yang berlangsung sempena pertabalan itu.

Selain Upacara Pertabalan pada kelmarin, baginda berdua menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako pada petang Selasa dan Jamuan Teh Diraja serta Majlis Makan Malam anjuran Abe malam ini, sebagai penghargaan kepada kenamaan yang menghadiri upacara bersejarah negara beliau.

Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) juga berkenan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pandu Puteri Jepun, yang mana baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa Taufan Habigis.

Baginda berdua dijadual berangkat pulang esok.

Loading...