Agong Terima Ratusan Surat Rintihan Rakyat

KUALA LUMPUR – Ratusan pucuk surat diterima Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah daripada rakyat susulan pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, rakyat merintih dengan keadaan itu dan mengharapkan agar kehidupan kembali pulih seperti biasa.

“Selepas lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

“Negara dan rakyat beta sudah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat yang kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14, hari ini.

Seri Paduka turut menasihatkan Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara tanah tumpahnya darah kita.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah baginda. – myMetro Online