Agong Terima Menghadap Ketua Pengarah JKSM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Istana Negara di sini.

JKSM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pertemuan selama 45 minit itu berlangsung dalam suasana yang sangat mesra.

“Banyak perkara berkaitan syariah dan perundangan syariah dibincangkan.

“Mohd Na’im juga berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah mewakili warga JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16,” menurut kenyataan itu.

Mohd. Na’im dilantik memegang jawatan tersebut pada Mac lepas bagi menggantikan Datuk Mukhyuddin Ibrahim yang menerajui JKSM sejak 2017.