Agong Tak Terima Senarai Nama Ahli Parlimen Sokong Anwar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong tidak menerima senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis menghadap di Istana Negara padi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara petang ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi menghadap itu Yang di-Pertuan Agong telah memberi nasihat kepada Anwar.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikut adalah kenyataan penuh Istana Negara:

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.

Sesi menghadap ini sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 22 September 2020 tetapi ditangguhkan ekoran daripada kegeringan Al-Sultan Abdullah di mana Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober, 2020.

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di Malaysia, khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa esok (14 Oktober, 2020), Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian Covid-19 serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. – Sinar Harian

Loading...