Agong Solat Jumaat Di Masjid Al-Iman

KUALA LUMPUR – Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Al-Iman, Kemensah Height bagi menunaikan solat Jumaat.

Baginda yang lengkap berbaju melayu hijau zaitun tiba di masjid berkenaan pukul 1.15 tengahari disambut Orang Besar Daerah Gombak yang juga Pengasas Masjid Al-Iman, Datuk Wan Mahmood Pa’wan Teh termasuk ahli kariah masjid.

Keberangkatan tiba Seri Paduka turut diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Datuk Abd Hamid Hussain.

Seri Paduka kemudian menyertai hampir 1,000 jemaah dari sekitar daerah itu menunaikan solat Jumaat diimamkan Imam 1 masjid berkenaan, Ustaz Mohd Sanusi Idris.

Mohd Sanusi dalam khutbahnya bertajuk ‘Hikmah Di Sebalik Infak’ menarik perhatian sidang jemaah bahawa menginfakkan harta untuk beribadah atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan tulus ikhlas, tidak akan merasa satu kerugian, kekurangan mahupun kemiskinan.

“Demikianlah kelebihan mereka yang menginfakkan hartanya, mereka yakin akan dijamin oleh Allah SWT dengan pertambahan rezeki yang datang dari sumber tidak diduga.

“Oleh yang demikian, wakaf menjadi satu medium bagi para sahabat Nabi SAW. Amalan berlumba-lumba berwakaf ini adalah kesan daripada didikan Nabi SAW,” katanya.

Khatib turut berpesan kepada umat Islam supaya yakin dengan janji Allah SWT yang akan memberi pahala amalan berlipat ganda dan berterusan kepada penginfak selagi harta itu dapat dimanfaatkan.

Selepas solat, Al-Sultan Abdullah berkenaan menandatangani plak sempena kali pertama menunaikan solat Jumaat di masjid yang dibina pada 31 Oktober 1999 itu.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka meluangkan masa bersalaman dengan orang ramai yang teruja dengan kehadiran baginda.

Loading...