Agong Serah Watikah Lantik Hakim Besar Malaya

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed di Istana Negara, di sini.

Pelantikan Azahar yang berkuat kuasa hari ini dibuat selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Zaharah Ibrahim yang bersara pada 16 Mei lepas.

Istiadat pengurniaan Surat Cara Pelantikan yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana tersebut turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Ahmad Maarop.

Azahar, 63, merupakan bekas Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan dan berpengalaman luas dalam bidang kehakiman.

Beliau dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan mempunyai pengalaman selama 3 tahun selaku hakim Mahkamah Rayuan sejak 2011 hingga 2014.

Pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics and Political Science itu pernah dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi sejak 2006 hingga 2011 selain Pesuruhjaya Kehakiman pada 2004.

Turut menerima Surat Cara Pelantikan selaku Hakim Mahkamah Persekutuan ialah Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli yang sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Rayuan.

Selain itu, 4 hakim Mahkamah Tinggi turut dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan iaitu Lee Swee Seng, Azizah Nawawi, Vazeer Alam Mydin Meera dan P Ravinthran.

Tujuh pesuruhjaya kehakiman dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka adalah Roslan Abu Bakar, Abdul Wahab Mohamed, Hassan Abdul Ghani, Chan Jit Li, Muhammad Jamil Hussin, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Khadijah Idris.

Kesemua mereka bakal mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di Istana Kehakiman, Putrajaya petang ini.

Loading...