Agong Sekali Lagi Bantu Mangsa Kemalangan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menarik perhatian ramai apabila baginda membantu mangsa kemalangan yang berlaku di jalan susur pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim di sini sebentar tadi.

Menerusi satu video yang dimuat naik melalui Instagram Istana Negara, kelihatan Al-Sultan Abdullah dan anakanda banginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah menuruni kenderaan rasmi baginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menerusi komen netizen, rata-rata memuji tindakan baginda itu yang disifatkan seorang sultan berjiwa rakyat.

“Tangan Tuanku memegang biji tasbih. Allahuakbar,” tulis afiqzambri pula.

“Allahuakbar… alhamdulillah kita dikurniakan Agong yang berjiwa rakyat. Dunia dicari akhirat tetap dikejari,” komenazimah2409 pula.

“Alhamdulilah Malaysia dihadiahkan dengan seorang Agong yang suka dekatkan diri bersama rakyat…,” tulis ymkingsayuti.

Baginda kemudiannya dilaporkan meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita.

Sebelum ini pada 26 Jun lalu Yang di-Pertuan Agong menarik perhatian rakyat apabila banginda membantu mangsa kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra-Kabinet di Putrajaya. – Sinar Harian

Loading...