Agong Sambut Baik Kerajaan Galak Tadbir Urus Berteras Integriti

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik langkah kerajaan menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti.

Baginda bertitah, menerusi amalan ini sebuah sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berintegriti, telus dan cekap akan menjadi kenyataan.

“Oleh yang demikian, adalah amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk terus didokong bagi mencapai aspirasi rakyat beta untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegriti,” titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah dalam masa sama turut menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik diambil oleh kerajaan dalam bidang diplomasi yang telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa.

“Ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima daripada negara-negara lain.

“Justeru, beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, Republik Rakyat China dan Emiriah Arab Bersatu atas sumbangan vaksin tersebut,” titah baginda. – Sinar Harian