Agong, PM Solat Istisqa Di Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama hampir 1,000 jemaah menunaikan solat istisqa menolak bencana jerebu yang semakin teruk melanda beberapa kawasan di Malaysia sejak dua minggu ini.

Solat sunat istisqa, yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu dilakukan selepas solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara di sini.

Turut menunaikan solat sunat istisqa ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta orang kenamaan lain yang hadir antaranya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua masjid di seluruh negara ini disaran melaksanakan solat sunat istisqa selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon doa diturunkan hujan bagi mengurangkan masalah jerebu serta bencana tidak diingini.

Jerebu melanda beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak berikutan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan dan memberi kesan kepada kualiti udara serta peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Setakat jam 3 petang tadi, tahap kualiti udara di kawasan Sri Aman, Sarawak terus kekal dalam kategori berbahaya dengan bacaan IPU mencecah 411.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Penolong Pengarah Agama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner Ghazali Daud dan mengikuti khutbah khas sempena sambutan Hari Pahlawan yang disambut bulan ini.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun, namun tarikh penganjuran majlis itu pada tahun ini diubah daripada tarikh perisytiharan asal bagi memberi laluan dan mengelakkan pertindihan dengan beberapa acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lepas.

Keberangkatan tiba Seri Paduka yang berbaju Melayu berwarna ‘peach’, di Surau Utama Istana Negara kira-kira jam 1.10 tengah hari diiringi Dr. Mahathir serta dua anakanda Al-Sultan Abdullah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Al-Sultan Abdullah bersama jemaah turut mendengar khutbah khas bertajuk ‘Pahlawan: Pengorbanan Yang Tiada Galang Ganti’ yang dibacakan Ghazali.

Solat Jumaat itu disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berkenan bergambar bersama pesara polis dan veteran tentera sebagai kenang-kenangan.

Loading...