Agong, Permaisuri Zahir Takziah Keluarga Petugas PKD Pekan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dua petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, yang maut dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih di atas pemergian jururawat Julayha Kudus serta pemandu Mohd Zuhairi Abdullah dan berharap agar seluruh keluarga mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi, kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mereka berdua sebagai kehilangan besar kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan dan Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu juga menyebut, Seri Paduka Baginda turut berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan kira-kira 10.30 pagi di Kilometer 32 Jalan Kuantan-Nenasi-Rompin, kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima mangsa lain selamat dan turut alami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, PKD Pekan ke perkampungan Orang Asli untuk melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan berkala. – myMetro Online