Agong, Permaisuri Santuni Mangsa Banjir Di Temerloh

TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di Kampung Buntut Pulau dan Kampung Tebal, di sini pada Rabu.

Menerusi kenyataan Facebook Istana Negara, dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan beramah mesra dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir terbabit bagi meringankan beban yang ditanggung.

Berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Kenyataan itu menyebut, Seri Paduka Baginda berdua dijadual akan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di sekitar daerah ini yang telah dilanda bencana banjir.

“Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda berdua terhadap mangsa banjir serta golongan yang memerlukan bantuan.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini segera pulih dan tidak berlanjutan,” menurut kenyataan itu. – Sinar Harian