Agong, Permaisuri Agong Lawat Sarawak 2 Hari

KUCHING – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak.

Pasangan diraja itu yang menaiki pesawat khas, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 11.20 pagi.

Keberangkatan baginda berdua disambut Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Jumaa’ni Tun Tuanku Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; barisan menteri Kabinet negeri; ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sarawak setelah Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas.

Pada sebelah petang, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat melawat tempat pelancongan yang berdekatan iaitu di Lebuh India dan Tebingan Sungai Kuching.

Pada sebelah malam, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri majlis santapan diraja bersama Tun Abdul Taib dan isteri di sebuah hotel terkemuka di sini dengan turut disertai Ketua Menteri, ahli Kabinet negeri serta tetamu kenamaan.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Jabatan Ketua Menteri, selepas selesai majlis santapan, pasangan diraja itu akan menyaksikan air pancut berirama di Tebingan Sungai Kuching.

Pada keesokan paginya, Al-Sultan Abdullah dijadual menghadiri sesi taklimat oleh Majlis Islam Sarawak sebelum berangkat ke Masjid Darul Hana untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama masyarakat Islam tempatan di sini.

Sementara itu, Permaisuri Agong mempunyai jadual berasingan di bangunan Mahkamah Lama Kuching dengan diiringi isteri ketua menteri untuk melawat Muzium Ranee Brooke dan pameran kraftangan serta menyaksikan demonstrasi masakan tradisional Sarawak.

Baginda berdua dijangka berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang selepas lawatan dua hari ke Sarawak yang merupakan inisiatif Yang di-Pertuan Agong sendiri untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di negeri ini.

Loading...