Agong Menang Bida Tertinggi Nombor Plat DDD 2

KOTA BHARU – Selepas memenangi bidaan plat RR 6 dan RR 9, Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V disahkan sebagai telah berjaya memperoleh tawaran tertinggi untuk siri nombor pendaftaran baharu Kelantan iaitu DDD 2.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mahassan Mustapha mengesahkan bahawa Seri Paduka juga memenangi tawaran untuk beberapa lagi nombor pendaftaran DDD yang menarik yang proses tender tawarannya mula dibuka kepada orang awam sejak 5 Julai lalu.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Sultan Muhammad V memenangi bidaan sebanyak RM385,000 untuk nombor pendaftaran DDD 2 manakala beberapa tokoh kenamaan termasuk dari luar Kelantan ujar beliau, juga memenangi nombor pendaftaran plat DDD yang lain.

“Pihak JPJ negeri menerima sambutan hangat orang ramai bahkan turut mencipta sejarah tersendiri dengan siri plat nombor pendaftaran ini apabila menerima lebih 7,000 tawaran bidaan untuk DDD. Dalam siri sebelumnya, kita hanya catat antara 700 dan 800 tawaran,” kata Mahassan.

Terdahulu, Seri Paduka pada 3 Ogos lalu diumumkan oleh jurucakap JPJ Perlis sebagai memenangi plat pendaftaran kenderaan untuk negeri terkecil di Malaysia itu iaitu nombor RR 6 dan RR 9 dengan nilai bidaan masing-masing ditawarkan sebanyak RM459,800 dan RM396,980.

Mengulas dengan lebih lanjut, Mahasan menambah bahawa nombor yang mendapat sambutan paling popular ialah DDD 1000, apabila mempunyai 144 individu berbeza yang membida namun ia akhirnya dimenangi oleh individu yang dilaporkan membayar bidaan sebanyak RM50,000.

Baca: Agong Pembida Tertinggi Plat Baharu Perlis RR 6

Beliau berkata, keunikan nombor pendaftaran DDD apabila mampu menarik sejumlah besar pembeli kerana secara kebetulan ada tiga huruf sama sebagai mana plat negeri lain sebelum ini iaitu AAA (Perak), BBB (Selangor), CCC (Pahang), JJJ (Johor) dan WWW (Wilayah Persekutuan).

Untuk rekod, harga minimum untuk tawaran bidaan plat kenderaan yang ditetapkan oleh JPJ adalah sekurang-kurangnya RM10,000 untuk nombor utama, manakala RM2,000 untuk nombor menarik, sebanyak RM300 untuk nombor popular dan nombor semasa hanya RM50.

Sebelum ini, Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) pernah memulakan projek khas pengumpulan dana dengan plat lesen siri PATRIOT apabila berjaya menjual plat nombor paling mahal di negara ini iaitu PATRIOT 1 pada nilai RM1.3 juta kepada pembida dari selatan negara ini.

Selain itu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang terkenal sebagai seorang pengumpul pelbagai model kereta eksotik dan klasik pernah membayar bidaan sebanyak RM990,000 untuk nombor siri plat pendaftaran baharu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu V1.

Bahkan Sultan Johor juga memenangi pendaftaran baharu Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu plat F1 dengan membayar RM836,660. Namun pemilik nombor pendaftaran W1N tidak diketahui tetapi dia membayar RM748,000 untuknya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...