Agong Lawat Tapak Cadangan Perumahan SASaR

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat tapak cadangan perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi di sini hari ini.

Baginda yang tiba di majlis berkenaan pada 11 pagi disambut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah.

Menurut Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, program SASaR diperkenalkan pada 2018 bagi membantu warga ATM dan veteran memiliki rumah sendiri.

“Ia adalah sebahagian dari aspek kebajikan yang diperkenalkan dalam meningkatkan tahap kualiti serta keselesaan hidup warga ATM,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sempena lawatan baginda.

Kediaman yang diberi nama Residensi Satria Sungai Besi dibuka pendaftaran pada 18 Disember 2017 hingga 18 Januari 2018 itu menerima 5,628 permohonan.

“Residensi Satria Sungai Besi telah memasuki fasa prapembinaan dan dijadualkan memulakan proses pembinaan seterusnya pada penghujung tahun ini,” kata kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan juga merancang memperluaskan lagi pelaksanaan program ini melalui kerjasama strategik bersama pihak swasta dan kerajaan negeri dan merealisasikan hasrat kerajaan yang menyasarkan untuk membina sejuta Rumah Mampu Milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 sehingga 2028.